PENGEKALAN SUMBER
Antara cabaran yang di hadapi dalam membangunkan bandar mapan ialah pengekalan sumber alam semulajadi seperti tanah, hutan, dan air. Pengekalan sumber alam ini sangat penting kerana jika pembangunan yang dijalankan tidak mengambil kira keadaan sumber alam, hal ini akan menyebabkan sumber alam mengalami kemusnahan. Pengekalan sumber alam ini termasuklah langkah untuk mengelakkan kemorosotan sumber di kawasan pembangunan disamping mengekalkan ekosistem semulajadi hutan. Sebagai contoh di Putrajaya. Sebuah bandar yang dahulunya adalah sebuah kawasan hutan dan estet getah kini dibangunkan menjadi sebuah bandar pentadbiran yang maju, tetapi masih lagi mengekalkan sebahagian hutan di kawasan tersebut kerana pembangunan yang dijalankan berkonsepkan bandar dalam taman.
Selain itu, bandar mapan yang ingin dibangunkan juga perlulah berasarkan konsep memelihara dan memulihara sumber alam yang hampir pupus serta bersesuaian dengan daya tampung sumber alam di kawasan berkenaan. Daya tampung sumber alam ialah keupayaan sesuatu sumber untuk menampung dan memenuhi keperluan penduduk pada tempoh tertentu.
SUASANA BANDAR YANG KONDUSIF
Menyediakan suasana bandar yang kondusif juga merupakan cabaran yang dihadapi dalam mencapai bandar mapan. Suasana bandar yang kondusif ini termasuklah mengurangkan kepadatan penduduk. Jika di kawasan bandar tersebut mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, sudah pasti penduduk tidak akan berasa selesa kerana akan timbul pelbagai masalah seperti kesesakan lalu lintas, masalah bunyi bising, dan masalah sosial seperti penyakit dan jenayah. Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah kepadatan penduduk ialah dengan mengurangkan jumlah migrasi masuk ke kawasan bandar tersebut.
Seterusnya ialah menghapuskan petempatan-petempatan haram atau kawasan setinggan di kawasan bandar tersebut. Kawasan setinggan yang berselerak di kawasan bandar akan mencacatkan pandangan bandar tersebut. Oleh hal yang demikian, langkah seperti membuat penempatan semula, pembinaan kawasan perumahan yang terancang dan menyediakan rumah kos rendah bagi menghapuskan kawasan-kawasan setinggan bolehlah dijalankan.
Suasana bandar yang kondusif juga merujuk kepada kemudahan infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan pendidikan seperti sekolah, kemudahan kesihatan seperti hospital atau klinik dan kemudahan perkhidmatan yang baik seperti pejabat pos dan balai polis. Selain itu pembinaan jalan raya dan kemudahan pengangkutan awam yang baik serta teratur juga akan meningkatkan lagi darjah ketersampaian bagi penduduk bandar dan penduduk sekitar bandar tersebut.
TEKNOLOGI
Penggunaan teknologi baru yang lebih canggih dan mesra alam juga merupakan cabaran dalam mencapai bandar mapan. Oleh sebab itu kerajaan seharusnya menggalakkan lagi inovasi berkenaan teknologi yang lebih baik melalui kaedah penyelidikan dan pembangunan (R&D). Selain itu, kerajan juga perlu menggalakkan kemasukan teknologi dari luar negara melalui pembangunan modal insan sebagai contoh rakyat Malaysia yang berada di negara- negara maju seperti Jepun, Korea Selatan atau Amerika Syarikat supaya membawa kemajuan dari negara tersebut pulang ke Malaysia.
Penubuhan Multimedia Super Koridor (MSC) dan pembukaan bandar pintar Cyberjaya merupakan salah satru contoh kejayaan yang dicapai oleh Malaysia dalam bidang teknologi yang boleh diimplimentasikan dalam penubuhan bandar mapan yang mesra alam dan maju dalam teknologi hijaunya.
DASAR DAN POLITIK
Cabaran yang di hadapi oleh kerajaan untuk mencapai bandar mapan dari segi politik ialah bagaimana untuk menjamin keharmonian alam sekitar atau kemapanan sesebuah bandar itu. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah mengubal beberapa dasar atau polisi untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan kemapanan bandar terpelihara. Antara dasar yang telah dijalankan ialah dasar urbanisasi atau pembandaran. Dalam dasar ini langkah yang dilakuakn oleh kerajaan ialah dengan mengelompokkan kampung-kampung kecil yang berhampiran dan membangunkannya menjadi sebuah bandar tanpa menjejaskan keadaan atau kualiti alam sekitar di kawasan tersebut.
Selain itu kerajaan juga telah berkongsi ekuiti dengan sektor swasta melalui dasar penswastaan dan dasar pensyarikatan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam mancapai bandar mapan. Hal ini kerana untuk pembangunan sesebuah bandar mapan sudah tentunya memerlukan kos atau perbelanjaan yang tinggi. Perkongsian antara pihak kerajaan dengan pihak swasta dapat menyediakan peruntukkan yang mencukupi untuk merealisasikan sebuah bandar mapan. Sebagai contoh pembangunan yang telah dilaksanakan di Malaysia ialah pembukaan Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, Putrajaya dan Cyberjaya.
KESIMPULAN
Bandar mapan yang maju dari segi teknologi dan mesra alam merupakan sebuah bandar yang di idam-idamkan oleh seluruh negara di dunia ini termasuklah Malaysia. Oleh hal yang demikian isu-isu dan cabaran dalam mencapai bandar mapan ini perlulah ditangani dengan bijak dan sistematik bagi menjamin wujudnya sebuah bandar yang bukan sahaja mementingkan kemajuan ekonomi semata-mata malah mengambil kira tentang kelestarian alam sekitar dan keselesaan penduduknya. Oleh hal yang demikian kerjasama dari semua pihak adalah penting kerana tanpa adanya kerjasama ini pembangunan bandar mapan hanyalah ibarat angan-angan sahaja dan langkah untuk mencapai wawasan 2020 akan terhenti di tengah jalan.
No comments:
Post a Comment